KATA ALUAN
Naib Canselor Universiti Sains Malaysia
Naib Canselor Universiti Sains Malaysia
Profesor Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, FASc.
Naib Canselor
Universiti Sains Malaysia
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, Universiti Sains Malaysia (USM) terus melangkah ke hadapan dalam memperkukuh agenda University for Society (U4S) melalui pelaksanaan Service-Learning Malaysia - University for Society (SULAM).
SULAM bukan sekadar satu pendekatan pedagogi, tetapi satu falsafah pendidikan yang mencerminkan misi USM sebagai universiti yang berpaksikan kelestarian dan kesejahteraan masyarakat. Melalui SULAM, ilmu yang diperoleh di bilik kuliah diterjemahkan kepada tindakan nyata di lapangan, yang mana pelajar belajar dengan masyarakat, daripada masyarakat, dan untuk masyarakat.
Saya amat berbangga melihat inisiatif ini berkembang pesat di USM. Pelaksanaan SULAM kini semakin meluas di pelbagai bidang pengajian, melibatkan penyertaan aktif pelajar dan pensyarah dalam pelbagai bentuk projek komuniti yang kreatif dan berimpak tinggi. Perkembangan ini membuktikan komitmen berterusan USM dalam mengangkat pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning) sebagai tunjang kepada pendidikan holistik yang seimbang antara ilmu, kemahiran dan nilai.
Pendekatan SULAM telah membantu melahirkan pelajar yang bukan sahaja berpengetahuan, tetapi juga berempati, beretika, dan berjiwa sukarela. Mereka bukan sekadar penerima ilmu, tetapi penyumbang aktif kepada penyelesaian isu-isu komuniti, sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs).
Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Bahagian Akademik dan Antarabangsa (BAA) dan Pusat Rancangan Kokurikulum (PRK) atas usaha gigih menyelaras pelaksanaan SULAM di USM. Tahniah juga kepada semua pensyarah, penyelaras PTJ, dan pelajar yang telah menjayakan pelbagai projek SULAM berimpak tinggi di seluruh negara.
Marilah kita terus menjadikan SULAM sebagai wadah yang memperkukuh identiti USM sebagai universiti yang berjiwa rakyat, universiti yang bukan hanya mendidik untuk pekerjaan, tetapi mendidik untuk kehidupan.
Sekian, terima kasih.
KATA ALUAN
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa)
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa)
Profesor Datin Dr. Noor Hazlina Ahmad
(Akademik dan Antarabangsa)
Universiti Sains Malaysia
Selamat datang ke Portal SULAM Universiti Sains Malaysia (USM).
Service Learning Malaysia - University for Society (SULAM) ialah inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi yang menghubungkan pembelajaran dalam kursus dengan keperluan sebenar masyarakat. Di USM, pensyarah dan rakan komuniti merancang projek bersama agar pelajar dapat menggunakan ilmu yang dipelajari untuk menangani isu yang penting kepada komuniti. Melalui pengalaman lapangan dan refleksi, pelajar belajar mendengar pandangan masyarakat, menyesuaikan pendekatan mereka dan menilai hasil usaha bersama.
Perjalanan SULAM di USM bermula dengan inisiatif para pensyarah dan sokongan Pusat Tanggungjawab (PTJ) yang menggerakkan projek bersama komuniti sebelum adanya peruntukan khusus. Pengenalan Dana SULAM membuka ruang kepada lebih banyak kursus untuk melaksanakan projek bersama komuniti. Sokongan ini seterusnya diperkukuh melalui peralihan kepada Geran SULAM USM, dengan penekanan yang lebih jelas pada perancangan bersama komuniti, pemantauan kemajuan, bukti hasil dan kesinambungan projek.
Seiring dengan perkembangan ini, SULAM semakin menjadi sebahagian daripada budaya pengajaran dan pembelajaran di USM. Penglibatan yang semakin meluas merentas bidang dapat dilihat melalui projek seperti pendidikan penjagaan pergigian di komuniti luar bandar, penerokaan sains dan teknologi bersama pelajar sekolah serta bimbingan pengurusan stres dalam kalangan remaja. Kepelbagaian ini menunjukkan bagaimana ilmu daripada pelbagai disiplin dapat digunakan untuk memenuhi keperluan masyarakat.
Pusat Rancangan Kokurikulum (PRK), selaku Sekretariat SULAM USM, bersama penyelaras di peringkat PTJ terus membimbing pensyarah melalui latihan, perkongsian amalan dan penyelarasan pelaporan. Saya mengalu-alukan warga USM dan rakan komuniti untuk memanfaatkan portal ini bagi mendapatkan panduan, mengikuti perkembangan semasa dan mengenali projek yang boleh mencetuskan kerjasama baharu.
Saya merakamkan penghargaan kepada para pensyarah, pelajar, penyelaras PTJ dan warga PRK yang telah membina dan memperkukuh pelaksanaan SULAM di USM. Penghargaan khusus saya tujukan kepada rakan komuniti yang sudi berkongsi pengetahuan dan pengalaman serta bersama-sama membimbing pelajar sepanjang pelaksanaan projek.
Marilah kita terus memperluas peluang kepada pelajar untuk belajar bersama masyarakat dan membina kerjasama yang memberi manfaat kepada komuniti. Melalui usaha ini, kita menghidupkan aspirasi University for Society dalam pengajaran dan pembelajaran di USM.
Sekian, terima kasih.
DATA SULAM
78
SIDANG AKADEMIK 22/23
240
SIDANG AKADEMIK 23/24
78
SIDANG AKADEMIK 24/25
396
JUMLAH KESELURUHAN
28
PROGRAM YANG MENJALANKAN SULAM
14
PTJ YANG MENJALANKAN SULAM
24
PENYELARAS SULAM PTJ
HEBAHAN
FAQ
Sila rujuk hebahan terkini berkenaan pembukaan permohonan dana SULAM USM
SULAM dilaksanakan oleh pensyarah bersama-sama pelajar dalam perancangan program hingga ke pelaksanaan program di komuniti pilihan berlandaskan modul yang dibangunkan KPT.
Pensyarah dan pelajar dari setiap pusat tanggungjawab akan terlibat sama bersama komuniti pilihan.