Skip to main content




"SULAM USM – Pendidikan Bertemu Komuniti, Mencipta Impak Nyata."

Menghubungkan pelajar, komuniti, dan universiti melalui pembelajaran berasaskan perkhidmatan untuk membina masa depan yang lestari dan bermakna.

Selamat datang ke Portal Rasmi Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM) Universiti Sains Malaysia (USM).

Portal ini menjadi pusat rujukan utama bagi semua maklumat berkaitan pelaksanaan dan pembangunan inisiatif SULAM di USM. Melalui laman ini, anda boleh mengakses informasi terkini, pengumuman penting, serta berita-berita berkenaan pelbagai aktiviti SULAM yang menghubungkan pelajar, komuniti, dan pihak universiti dalam satu jaringan kerjasama yang bermakna.

SULAM di USM berperanan memupuk kefahaman mendalam tentang konsep pembelajaran berasaskan perkhidmatan (service learning), pendekatan pendidikan yang bukan sahaja memperkayakan pengalaman pembelajaran pelajar, malah memberi impak positif serta lestari kepada masyarakat.

Terokailah pelbagai projek, pencapaian, dan kisah inspirasi komuniti melalui platform ini, kerana di sinilah pendidikan dan khidmat komuniti bergabung untuk membina masa depan yang lebih inklusif, berdaya tahan, dan mampan.

KATA ALUAN
Naib Canselor Univerisiti Sains Malaysia

Profesor Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, FASc.
Naib Canselor
Universiti Sains Malaysia

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.


Syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, Universiti Sains Malaysia (USM) terus melangkah ke hadapan dalam memperkukuh agenda University for Society (U4S) melalui pelaksanaan Service-Learning Malaysia - University for Society (SULAM).


SULAM bukan sekadar satu pendekatan pedagogi, tetapi satu falsafah pendidikan yang mencerminkan misi USM sebagai universiti yang berpaksikan kelestarian dan kesejahteraan masyarakat. Melalui SULAM, ilmu yang diperoleh di bilik kuliah diterjemahkan kepada tindakan nyata di lapangan, yang mana pelajar belajar dengan masyarakat, daripada masyarakat, dan untuk masyarakat.


Saya amat berbangga melihat inisiatif ini berkembang pesat di USM. Pelaksanaan SULAM kini semakin meluas di pelbagai bidang pengajian, melibatkan penyertaan aktif pelajar dan pensyarah dalam pelbagai bentuk projek komuniti yang kreatif dan berimpak tinggi. Perkembangan ini membuktikan komitmen berterusan USM dalam mengangkat pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning) sebagai tunjang kepada pendidikan holistik yang seimbang antara ilmu, kemahiran dan nilai.


Pendekatan SULAM telah membantu melahirkan pelajar yang bukan sahaja berpengetahuan, tetapi juga berempati, beretika, dan berjiwa sukarela. Mereka bukan sekadar penerima ilmu, tetapi penyumbang aktif kepada penyelesaian isu-isu komuniti, sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs).


Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Bahagian Akademik dan Antarabangsa (BAA) dan Pusat Rancangan Kokurikulum (PRK) atas usaha gigih menyelaras pelaksanaan SULAM di USM. Tahniah juga kepada semua pensyarah, penyelaras PTJ, dan pelajar yang telah menjayakan pelbagai projek SULAM berimpak tinggi di seluruh negara.


Marilah kita terus menjadikan SULAM sebagai wadah yang memperkukuh identiti USM sebagai universiti yang berjiwa rakyat, universiti yang bukan hanya mendidik untuk pekerjaan, tetapi mendidik untuk kehidupan.

Sekian, terima kasih.

KATA ALUAN
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa)

Profesor Dato' Gs. Dr. Narimah Samat
Timbalan Naib Canselor
(Akademik dan Antarabangsa)
Universiti Sains Malaysia

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.


SULAM (Service-Learning Malaysia - University for Society) merupakan satu inisiatif berimpak tinggi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang bertujuan menghubungkan dunia akademik dengan keperluan sebenar masyarakat. Pendekatan ini menekankan pengintegrasian antara pembelajaran teori dengan pengalaman khidmat komuniti, sekaligus memperkukuh High Impact Educational Practices (HIEPs) yang menjadi tunjang utama kepada agenda pendidikan holistik universiti.


Di Universiti Sains Malaysia (USM), pelaksanaan SULAM bukan sekadar aktiviti pengajaran dan pembelajaran, tetapi merupakan manifestasi kepada falsafah universiti sebagai institusi yang memimpin masyarakat melalui ilmu, inovasi dan nilai kemanusiaan. Melalui SULAM, para pelajar dididik untuk menjadi warganegara berpengetahuan dan berempati, individu yang memahami realiti sosial sambil mengaplikasikan ilmu secara bermakna dalam konteks komuniti
sebenar.


Sejak pelaksanaannya, USM telah mencatat kemajuan yang memberangsangkan. Lebih 28 program pengajian daripada 14 Pusat Tanggungjawab (PTJ) telah berjaya melaksanakan projek SULAM dengan impak komuniti yang signifikan, meliputi bidang pendidikan, kesihatan kejuruteraan, sains sosial, dan teknologi. Penglibatan aktif para pensyarah bersama pelajar dalam pelbagai inisiatif dan program SULAM yang dikendalikan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) membuktikan komitmen USM terhadap pembelajaran berasaskan komuniti yang berkualiti, tersusun, dan berimpak tinggi.


Pejabat Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) turut memperkukuh pelaksanaan ini melalui penyediaan Dana SULAM USM, sebagai bentuk sokongan kepada pensyarah yang melaksanakan projek komuniti berasaskan kursus. Hasilnya, kita telah menyaksikan peningkatan ketara dalam pelaporan dan pelaksanaan projek, yang bukan sahaja memperkaya pengalaman pelajar, tetapi turut memperkukuh hubungan strategik universiti dengan komuniti, industri, dan agensi kerajaan.


Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pensyarah, penyelaras PTJ, serta pelajar yang telah melaksanakan projek SULAM dengan penuh dedikasi dan semangat kesukarelawanan. Terima kasih juga diucapkan kepada Pusat Rancangan Kokurikulum (PRK) yang memainkan peranan utama dalam menyelaras pelaksanaan SULAM di seluruh universiti melalui bimbingan, pemantauan, serta inisiatif peningkatan kapasiti.

Marilah kita bersama-sama terus memperkukuh amalan SULAM sebagai sebahagian daripada budaya akademik di USM agar setiap kursus bukan sekadar memenuhi keperluan kurikulum, tetapi menjadi wahana membentuk graduan yang berfikir secara kritis, bertindak secara beretika, dan menyumbang secara bermakna kepada kesejahteraan masyarakat.


Sekian, terima kasih.


Wabillahi taufik wal hidayah, Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.





DATA SULAM

78

SIDANG AKADEMIK 22/23

240

SIDANG AKADEMIK 23/24

78

SIDANG AKADEMIK 24/25

396

JUMLAH KESELURUHAN

28

PROGRAM YANG MENJALANKAN SULAM

14

PTJ YANG MENJALANKAN SULAM

24

PENYELARAS SULAM PTJ

111077

DANA DILULUSKAN (RM)

FAQ

Bagaimana Untuk Memohon Dana SULAM USM?

Sila rujuk hebahan terkini berkenaan pembukaan permohonan dana SULAM USM

Bagaimana SULAM Dijalankan di Pusat Tanggungjawab?

SULAM dilaksanakan oleh pensyarah bersama-sama pelajar dalam perancangan program hingga ke pelaksanaan program di komuniti pilihan berlandaskan modul yang dibangunkan KPT. 

Siapa Yang Terlibat Dalam Proses Menjalankan SULAM?

Pensyarah dan pelajar dari setiap pusat tanggungjawab akan terlibat sama bersama komuniti pilihan.